Globalisasi

Globalisasi
Kita bisa mengenggam dunia

Sunday, August 2, 2009

Lima cabaran era globalisasi

Lima cabaran era globalisasi

KUALA LUMPUR 28 Mei – Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Al-Mohamad Al-Ahmad Al Sabah menggariskan lima cabaran yang perlu dihadapi oleh negara Islam dalam era globalisasi.

Lima cabaran itu menurut beliau, ialah kemiskinan, pendidikan, politik, hubungan umat Islam dengan dunia lain dan pentadbiran moden.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata, kemiskinan antara lain disebabkan ketiadaan peluang pekerjaan, pertambahan bilangan penduduk dan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar.

“Usaha membasmi kemiskinan merupakan isu utama yang cuba ditangani oleh pemerintah di negara Islam kerana ia juga menyebabkan ketidakseimbangan piramid penduduk,” katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ketiga di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Sheikh Al-Mohamad berkata, usaha untuk membasmi kemiskinan dunia Islam menuntut tiga tindakan iaitu daripada masyarakat, pihak kerajaan dan kerjasama antara negara Islam itu sendiri.

Bagaimanapun katanya, usaha tersebut perlu mendapat sokongan kuat dan kerjasama daripada sektor swasta sama ada dari segi pelaburan atau pertukaran bahan makanan.

“Bagaimanapun, kemiskinan paling teruk ialah kemiskinan minda,” katanya.

Mengenai bidang pendidikan pula, menu ru t beliau, ia melibatkan cabaran untuk membuat pelaburan termasuk dalam bidang latihan dan penyelidikan saintifik, bidang yang penting untuk pembangunan modal insan.

Katanya, ada sesetengah negara Islam maju dalam bidang pendidikan, latihan dan penyelidikan saintifik, tetapi masih banyak yang ketinggalan.

Negara Islam jelas beliau, akan terus tercicir daripada arus pembangunan perdana masa kini jika mereka terus gagal menyelesaikan cabaran kedua tersebut, kerana pendidikan merupakan `aset’ kepada kemajuan teknologi, komunikasi dan penyelidikan saintifik serta penjana kemajuan.

Dalam politik pula, beliau berpendapat, ia berkait rapat dengan soal demokrasi dan masih terdapat kesukaran untuk melaksanakannya di kebanyakan negara Islam terutama di kalangan negara Arab.

“Selain itu, ia juga berkait rapat dengan soal integriti dan rasuah yang perlu dijauhi oleh pemerintah bagi memastikan kesinambungan serta kelangsungan pembangunan negara dan rakyat. Cabaran yang kita hadapi ialah bagaimana untuk melaksanakan demokrasi itu,” katanya.

Mengulas cabaran hubungan umat Islam dengan dunia lain pula, Sheikh Al-Mohamad berkata, dunia sekarang semakin menjadi kecil dan pertukaran idea serta dialog perlu diwujudkan memandangkan umat Islam sering dikaitkan dengan keganasan dan diskriminasi ekoran tragedi 11 September 2001.

Sementara cabaran pentadbiran moden pula katanya, ada hubungkait dengan pemulihan semula modal insan, tetapi sering diabaikan walaupun negara Islam tidak miskin sumber.

Beliau turut membangkitkan isu birokrasi dalam mendapatkan kelulusan dan lesen untuk mengendalikan kilang pakaian, sedangkan perkara tersebut telah pun dimansuhkan di kebanyakan negara bukan Islam.

1 comment:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete