Globalisasi
Sunday, August 2, 2009
~Ahli-ahli Kumpulan~
Globalisasi dan Cabaran Pendidikan
Globalisasi merupakan satu proses untuk meletakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Melalui proses ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi seperti internet, media elektronik, dan teknologi siber. Perkembangan ini memungkinkan perhubungan di antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat.
Menurut Kamus Dewan globalisasi didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Manakala cediakawan barat mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial, dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia di dunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan.
Dalam era globalisasi ini, dunia semakin dikecilkan ruangnya daripada yang asal. Jika dulu dunia ini seluas saujana mata memandang dan dipagari dengan sempadan-sempadan namun kini ia tidak berlaku lagi. Malah pada hari ini kita telah dapat merasakan apakah dia itu globalisasi. Ledakan teknologi maklumat yang pesat merupakan medium utama kepada agenda globalisasi ini.
Dunia bukan sahaja tidak bersempadan geografi tetapi pengaruh globalissasi menjangkau sempadan ekonomi, teknologi, bahasa, budaya, ideologi, politik dan dari segenap aspek kehidupan sesebuah masyarakat.
Kerajaan Malaysia memberi keutamaan kepada globalisasi ekonomi. Di samping itu, ia memberi perhatian besar kepada globalisasi maklumat dan ilmu dan globalisasi saintifik serta teknologi. Kesungguhan Kerajaan dalam menangani tiga jenis globalisasi ini jelas kelihatan pada berbagai-bagai bentuk wacana di peringkat nasional dan peringkat antarabangsa seperti dialog, seminar, persidangan dan forum dan juga pada penubuhan berbagai-bagai jenis institusi dan projek. Koridor Raya Multimedia (MSC) adalah simbol harapan serta kemegahan Malaysia dalam menyahut panggilan globalisasi.
Globalisasi juga merujuk kepada perpindahan nilai, terutamanya cara berfikir dan gaya bertindak dari satu daerah dunia kepada daerah dunia yang lain. Globalisasi yang diberi erti luas ini adalah suatu hakikat yang tidak dapat dipertikaikan. Hakikatnya globalisasi itu sudah wujud sebelum istilah globalisasi diperkenalkan lagi. Fenomena globalisasi boleh dikiaskan sebagai gelombang yang melanda dunia.
Takrifan pendidikan juga amat penting supaya kita dapat memahami dengan lebih lanjut serta mendalam dengan tajuk yang ingin diselami. Pendidikan, mengikut pandangan umum, ialah aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian dan jasmani manusia. Pengertian bagi pendidikan pula mempunyai perbezaan bagi setiap individu. Dapat diberikan contoh pengertian daripada tokoh-tokoh falsafah iaitu Plato yang telah memberikan takrifan pendidikan sebagai suatu proses untu membentuk individu yang berakhlak mulia. Beliau telah menyokong pendapat Socrates bahawa tujuan pendidikan ialah memberikan latihan moral kewarganegaraan yang baik.
Komputer merupakan salah satu alat komunikasi pada zaman globalisasi ini. Komputer boleh direkabentuk supaya ia dapat membantu pelajar secara individu dan secara berkumpulan. Ini dapat dijalankan dengan menggunakan Arahan Program, pelajar akan diajar mengikut kadar dan tahap yang boleh diterima oleh mereka. Ini adalah penting supaya pelajar tidak tercicir dan putus asa. Merujuk kepada sistem pendidikan konvensional, kesemua pelajar terpaksa mengikuti sistem yang berlangsung tanpa mengambil kira samada mereka dapat mengikuti pelajaran tersebut. Justeru itu, arahan program dapat memberi peluang terutamanya kepada golongan pelajar "lemah" untuk membaiki kelemahan dia.
Dalam arahan program ini, pelajar akan mengikuti langkah-langkah tertentu dalam pembelajarannya, langkah tersebut akan diteruskan asalkan pelajar dapat memberi jawapan yang sesuai dan boleh diterima. Namun sekiranya jawapan tersebut tidak memuaskan, dia akan dipandu kepada langkah terdahulu dan ditunjukkan bahan rujukan yang berkaitan bagi memperbaiki kelemahan tersebut. Pengajaran sedemikian biasanya tidak dijalankan di dalam kelas yang terdiri daripada ramai pelajar, tambahan pula pelajar Asia yang kurang bertanya akan memburukkan lagi proses pembelajaran pelajar.
Selain itu, pendidikan jarak jauh dibolehkan dengan wujudnya rangkaian pendidikan yang lengkap. Trenda semasa semakin menampakkan masa depan pengajaran dengan cara jarak jauh tetapi ini tidak bermakna pendidikan konvensional perlu dihapuskan sama sekali. Sesetengah daripadanya perlu dikekalkan bagi membolehkan pelajar membelajari kemahiran tertentu yang tidak boleh diperolehi melalui teknologi maklumat. Contohnya cara persembahan menggunakan komputer amat berbeza dengan cara konvensional. Namun kita tidak harus bergantung sepenuhnya kepada komputer dan melahirkan golongan yang tidak mampu berinteraksi tanpa komputer.
Justeru itu, sistem pendidikan perlu membekalkan kemahiran interaksi asas pada awal persekolahan dan menggunakan teknologi maklumat pada masa yang sama. Dengan itu, pelajar mempunyai kemahiran lebihan dan pilihan untuk menggunakan teknologi maklumat atau cara konvensional sesuai dengan keadaan tertentu.
Seterusnya, peningkatan prestasi pencapaian sekolah kebangsaan perlu dilakukan supaya menjadi sekolah pilihanrakyat. Sekolah merupakan tapak semaian penting bagi memupuk perpaduan negara dan menyemai semangat integrasi nasional. Pelbagai langkah perlu diambil ke arah memperkasakan sekolah kebangsaan supaya ianya menjadi sekolah pilihan semua kaum. Kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah kebangsaan juga perlu ditingkatkan. Kurikulum dan aktiviti kokurikulum di sekolah juga perlu dikaji semula untuk memastikan ia menyediakan asas kukuh dan bersesuaian dengan kehendak semasa. Peluang pendidikan bagi kanak-kanak istimewa dan yang mengalami masalah pembelajaran juga perlu ditingkatkan.
Langkah seterusnya ialah dengan mewujudkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan institusi tertiari memenuhi kehendak majikan. Langkah untuk mempertingkat kualiti pendidikan tertiari akan terus dilaksanakan. Institusi pengajian tinggi tempatan perlu diberi tanda aras mengikut piawaian antarabangsa. Bagi memperkukuh keupayaan penyelidikan di universiti tempatan, jalinan kerjasama dengan institusi terkemuka di peringkat antarabangsa dan juga swasta perlu dilaksanakan agar misi ini berjaya menjelang 2020. Institusi pengajian tertiari juga hendaklah meneliti kursus-kursus yang ditawarkan sejajar dengan keperluan semasa
Selain itu, dengan mengadakan lebih banyak tempat untuk pembangunan kemahiran, latihan dan pembelajaran kepada tenaga buruh pada setiap peringkat dan umur termasuk kemahiran penggunaan ICT, misi ini boleh dicapai. Keupayaan dan keberkesanan sesuatu latihan untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran perlu ditingkatkan dengan membanyakkan institusi latihan awam, menambah kursus lanjutan dalam bidang-bidang teknikal, serta menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam bidang latihan teknikal. Pengambilan pelatih teknikal juga perlu ditambah lagi agar misi ini dapat direalisasikan.
Selain daripada itu, kemudahan-kemudahan bagi tujuan pendidikan juga akan terus bertambah bagi tujuan pembelajaran. Bersesuaian dengan dunia tanpa sempadan, kita seharusnya didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan supaya kita semua tidak ketinggalan. Maka, kemudahan-kemudahan inilah yang akan membantu kita sebagai alat bantu mengajar yang boleh dipercayai. Kepesatan arus globalisasi ini juga akan membuatkan pemikiran anak-anak generasi kita pada masa hadapan akan lebih jauh ke hadapan dengan bantuan pelbagai kemudahan yang di sediakan.
Perdana Menteri kita, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah berkata ketika membentang Rancangan Malaysia Kesembilan, “ Dalam konteks dunia global, modal insan bermutu tinggi satu keperluan, bukan lagi kemewahan. Pembangunan modal insan dalam RMK-9 dirangka supaya bersifat holistik, menyeluruh dan bersepadu”. Melalui ungkapan beliau itu, beliau amat berharap agar negara kita akan mencapai hasrat dan aspirasi dan seterusnya menyertai barisan negara maju menjelang 2020.
CABARAN MASA DEPAN
- Merancang mata pelajaran futuristik untuk
sumber manusia masa depan
- Projek merekacipta sistem pengangkutan
mesra alam
- Cadangan menyelesaikan masalah
perumahan/kesesakan lalu lintas/
pengangkutan
- Kajian punca dan cara mengatasi gejala
gengsterisme di sekolah
- Kajian tentang cabaran sistem kekeluargaan
masa depan
- Kajian kes isu sosial di kawasan setempat
- Merancang khemah pelarian atau
perkhidmatan kecemasan bencana alam
- Merancang projek kerjasama
Kesan globalisasi terhadap bidang pendidikan di negara ini
Globalisasi merujuk kepada satu cara hidup dunia tanpa sempadan dan saling berkaitan antara satu sama lain. Walaupun secara umumnya globalisasi itu lebih memberi kesan kepada ekonomi dunia, namun bidang lain seperti pendidikan tidak terkecuali.
Natijah daripada dunia tanpa sempadan, pendidikan di negara ini menjadi terbuka kepada dunia luar sama ada untuk belajar mahupun menubuhkan cawangan universiti asing di sini. Sudah tentu peluang yang sebegini akan diambil oleh universiti luar, terutamanya yang terkemuka dan berprestij. Mereka akan membuka cawangannya di negara ini. Walaupun cara ini merupakan suatu persaingan yang sihat, namun institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan masih belum bersedia untuk menghadapi situasi ini. Hal ini akan memberi kesan yang besar kepada IPT tempatan, terutamanya Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Para pelajar tentu akan memilih universiti luar yang terkemuka demi pasaran kerja mereka. Hal seperti ini telahpun berlaku apabila graduan IPT luar negara menjadi pilihan utama majikan berbanding graduan IPT tempatan. Dengan demikian juga, IPT tempatan akan mengalami masalah kekurangan pelajar dan akhirnya membawa kepada penutupan IPT berkenaan, khususnya IPTS yang bersaiz kecil.
Kesan globalisasi ini juga akan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Hal ini berlaku kerana para pelajar mudah mendapat maklumat melalui internet. Maklumat yang disebarkan melalui internet sebahagian besarnya dalam bahasa Inggeris. Selain itu, cawangan universiti luar akan terus menjadikan bahasa Inggeris sebagai wahana dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pada masa ini juga, sudah banyak IPTS yang telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Hal sebegini akan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu walaupun sudah terbukti bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang. Jika hal ini berlaku, bahasa Melayu akan menjadi bahasa kedua dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan usaha ke arah pembinaan bangsa Malaysia berdasarkan bahasa Melayu akan terbantut.
Globalisasi akan memesatkan pengkomersilan pendidikan itu sendiri. Ahli korporat pendidikan akan mengaut keuntungan melalui bidang pendidikan. Amat dibimbangi jika hal ini berterusan dan tanpa kawalan, matlamat dan objektif asal pendidikan akan terkorban. Demi mencapai keuntungan semata-mata, kualiti pendidikan mungkin diabaikan. Masalah ini akan ketara apabila kelayakan masuk pelajar tidak diambil berat seperti dikenakan syarat yang longgar, pensyarah terdiri daripada mereka yang kurang terlatih dan kurang pengalaman, kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang minimum, kualiti ilmu yang diajar meragui dan lain-lain lagi.
Selain itu, pengkomersilan pendidikan seperti ini akan menafikan konsep pendemokrasian pendidikan. Hanya pelajar yang mampu dari segi kewangan sahaja yang berpeluang melanjutkan pelajaran. Han ini hanya sekitar 20 peratus sahaja bilangan pelajar bumiputera di IPTS berbanding ratusan ribu pelajar IPTS keseluruhannya. Perkara ini jika tidak dibendung akan meluaskan jurang antara golongan bumiputera dengan golongan bukan bumiputera. Selain itu, hanya yang kaya sahaja akan dapat menikmati pendidikan tinggi, manakala yang miskin dinafikan peluang mereka. Ini bertentangan dengan dasar kerajaan yang ingin melahirkan masyarakat berilmu tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.
Kesan seterusnya yang akan timbul ialah penghayatan ilmu itu semakin terhakis. Hal ini demikian kerana para pelajar hanya belajar ilmu sahaja tanpa menghayati ilmu itu sendiri. Mereka belajar hanya untuk tujuan peperiksaan atau demi memenuhi tugasan yang diberikan sahaja. Ini akan melahirkan generasi yang cerdik pandai tanpa diimbangi dengan penghayatan ilmu itu sendiri. Akibatnya, kemahiran yang mereka miliki mungkin akan digunakan untuk tujuan negatif seperti melakukan pecah amanah, menipu dan sebagainya.
Kesimpulannya, semua pihak harus menyedari kesan globalisasi ini dan bersedia dengan langkah yang komprehensif. Kita tidak boleh mengelak daripada menghadapi globalisasi kerana tanpanya kita akan terus ketinggalan. Oleh itu, kita perlu bersedia untuk mengatasi sebarang cabaran yang wujud daripada fenomena globalisasi ini.
CABARAN GLOBALISASI: KESANNYA KEPADA REMAJA
DUNIA kini semakin rumit dan berserabut. Jika ada dua perkataan yang dapat menggambarkan situasi yang kini sedang berkembang dalam dunia dewasa ini adalah "kekeliruann dan "kepalsuan".
Apakah yang lebih mengelirukan bagi generasi pewaris jika mereka dalam suatu keadaan sedang menyaksikan kehidupan manusia yang berada di dalam kekaburan dan kesamaran untuk menentukan destinasi hidup yang sebenar? Di suatu waktu golongan muda kita diperdengarkan mengenai slogan keadilan dan kebenaran tetapi di waktu yang lain mereka menyaksikan perbuatan yang zalim dan pemalsuan di atas nama keadilan dan kebenaran itu sendiri.
Sesungguhnya kekeliruan dalam pemikiran dan tanggapan terhadap erti kesejahteraan dan kemakmuran hidup telah membawa kepada krisis yang semakin kusut dan tragedi yang amat besar kepada kemanusiaan di waktu ini. Komplot dikelirukan di atas nama kebersamaan, monopoli kekayaan di atas nama pertumbuhan ekonomi, dominasi budaya di atas nama liberalisasi, penindasan golongan lemah di atas nama demokrasi, hedonisme di atas nama kebebasan individu peminggiran di atas nama urbanisasi dan penjajahan di atas nama pasaran bebas.
Semua ini sedang dihidangkan kepada generasi pewaris. Dalam jangka masa panjang yang palsu jika diulangi dan diperkukuhkan dengan kenyataan yang tidak disanggah, akhirnya akan menjadi persepsi yang dianggap benar dan terus dilanjutkan serta kadangkala dipertahankan tanpa soal.
Kita kerap memperkatakan sesuatu yang sering tidak kita fahami tetapi akibat dari sogokan yang bertubi-tubi melalui pelbagai media ia sudahnya diterima. Di zaman ini tidak ada ungkapan dan laungan yang paling tertonjol dan didengari dan dianggap sebagai benar oleh hampir semua pemegang kuasa dan khalayak awam melainkan Globalisasi.
Ramai yang sudah hampir yakin dengan penuh taqlid bahawa fenomena globalisasi adalah suatu realiti yang perlu diakui. Sejauh mana dan ke mana arah sebenarnya globalisasi akan membawa kita hampir tidak dapat diteliti dengan waras dan saksama oleh pelbagai pemikir dan perancang.
Kita sekarang sebenarnya sedang berada di suatu zaman di mana proses penyeragaman yang amat ketara sedang berlangsung. Akibat dari apa yang dikatakan globalisasi, kita sudah hampir pasti mengatakan kepelbagaian adalah satu ketidaksempurnaan. Oleh yang demikian kita semakin akur mengatakan bahawa globalisasi adalah suatu konsep yang benar dan tepat walaupun natijahnya jelas membawa banyak kesan negatif daripada positif. Kita akan perhatikan bahawa hampir semua aspek kehidupan kita sedang menjalani proses globalisasi yang sebenarnya adalah untuk mengheret kita ke dalam suatu sistem hidup yang diseragamkan di seluruh dunia.
Tidak ada aspek kehidupan yang tidak disentuh oleh proses globalisasi. Tidak ada sektor pembangunan dan kemajuan sesebuah negara yang sepi dari sentuhan glabalisasi. Namun begitu kita tidak pula nampaknya mengambil sikap yang kritikal terhadap proses ini.
Dalam keghairahan untuk diglobalkan, kita semakin terputus dari budaya dan akar sejarah kita sendiri. Suatu tanggapan yang tidak disedari sedang menjadi asas pemikiran kita masa kini ialah semua sejarah bangsa mahupun negara tidak lagi bermakna melainkan proses globalisasi adalah satu-satunya fenomena yang harus membentuk seluruh tamadun hidup semasa.
Murni
Itulah hakikat globalisasi sebenarnya di mana ia adalah suatu proses penyeragaman dan penyamarataan "semua untuk satu dan satu untuk semua". Globalisasi dilihat sebagai suatu faham bahawa di dalam kehidupan ini tidak wajar lagi diiktiraf tanggapan nilai murni dan mulia secara objektif. Akibat dari "nilai-nilai global" yang dibentuk serta didalangi dan didukungi oleh faham dan pandangan hidup barat, maka kehidupan yang dilandaskan oleh nilai-nilai mutlak berdasarkan pegangan agama tidak lagi dapat diterima.
Apa yang disogokkan melalui globalisasi ialah segalagalanya perlu disamaratakan. Dengan lain perkataan ia bermakna seluruh pandangan hidup dan nilai hidup hendaklah diseragamkan tidak kira dari mana asas nilainya yang dibentuk. Ini diterjemahkan dalam pelbagai dimensi hidup dari sekecil-kecil perilaku seperti berpakaian sehinggalah ke sebesar-besar agenda di peringkat perhubungan antarabangsa.
Lantaran globalisasi mempunyai Jentera penjananya sendiri iaitu badan-badan konglomerat dunia yang sekali lagi berpaksi dan berpusat di barat maka kepentingan globalisasi pada hakikatnya tidak lain daripada kepentingan barat jua. Globalisasi pada hakikatnya tidak lebih daripada maksud dominasi. Laungan keadilan dan kesaksamaan universal yang cuba dikaitkan dengan proses globalisasi hanya merupakan suatu pemalsuan dan penyembunyian hakikat sebenar.
Kita sering tenggelam dan lemas dalam kejahilan yang amat ketara. Hampir jelas globalisasi sebagai suatu istilah baru kepada gerakan yang lama tidak lagi dapat difahami apatah lagi dianalisa dengan kritikal.
Semakin ramai penganalisis dunia kini telah memperakui globalisasi sebagai satu kenyataan yang diterima dan perlu dijadikan premis yang benar dan tidak boleh dipersoalkan lagi. Keghairahan pemikir-pemikir dan ahli-ahli akademik untuk menerima globalisasi kini diperkukuhkan oleh badan-badan antarabangsa di atas pelbagai nama yang amat mengkagumkan. Tanpa segan silu lagi mereka mengatakan bahawa fenomena wujudnya "rakyat global" adalah suatu bentuk idealisme yang perlu diterima oleh semua negara.
Demikianlah mendalamnya pemikiran globalisasi yang dijiwai oleh perancang-perancang pembangunan di seluruh dunia sehingga tidak wujud lagi rasa curiga terhadap kesan prosesnya yang dijana dan dicanangkan oleh kuasa-kuasa barat.
Tidaklah menghairankan kalau penganut-penganut globalisme ini akhirnya akan mengatakan, kedaulatan sesebuah negara bangsa tidak perlu diwujudkan lagi kerana mereka terus beranggapan bahawa apa yang dipanggil "dunia tanpa sempadan" adalah kemuncak kemajuan. Dengan demikian mereka berasa puas untuk menjadi alat dan hamba kepada pelbagai institusi global yang mengeksploitasi seluruh kepakaran dan keahlian mereka bagi membuka dan merungkai segala halangan yang menyebabkan sesebuah negara tidak memperakui globalisasi sebagai satu kemestian.
Kita menjadi semakin terhimpit apabila negara dankebanyakan pemimpin sudah membuat komitmen untuk menyertai proses globalisasi ini. Apakah makna, ke arah manakah tujuan dan apakah implikasinya, tidak menjadi persoalan penting. Apa yang diutamakan adalah semua pihak perlu menyertai dan menyesuaikan diri untuk menjadi lebih global.
Jika benarlah global itu bermakna lebih menyeluruh dan mengambilkira semua aspek dan kepentingan setiap warga dunia, kenapakah realiti globalisasi yang sedang berjalan kini tidak menunjukkan tanda tersebut melainkan semakin ketara fenomena dunia yang bersifat unipolar sedang dikuasai oleh hanya satu blok kuasa iaitu blok barat sahaja. Yang semakin jelas ialah bukan konsep menyeluruh itu yang sebenarnya ditekankan tetapi sebaliknya konsep "semua untuk satu" jualah yang kini menjadi agenda barat.
Apabila kita ingin menyinggung persoalan cabaran dan kesan globalisasi ke atas golongan remaja, sebenarnya kita sudah agak lewat untuk membuat suatu penilaian kritikal bagi mempersiapkan golongan tersebut menghadapi fenomena ini. Malah kesan globalisasi sudah terlalu awal lagi berada dalam kawalan kuasa besar dalam pelbagai bentuk seperti badan ekonomi, badan korporat dan konglomerat teknologi.
Cabaran
Satu-satunya cabaran globalisasi yang perlu diperbahaskan di agenda paling atas adalah cabaran ke atas aspek sosial budaya. Cabaran ini adalah suatu persoalan yang sangat kritikal kerana sesudah terlerainya benteng sosio budaya sesuatu kelompok masyarakat belia dapat disempurnakan maka segala usaha untuk menerobos bidang — bidang yang lain akan menjadi lebih mudah.
Golongan muda sebahagian besarnya sudah terheret di dalam proses globalisasi sosio budaya. Melalui pelbagai saluran, golongan belia akan menjadi dan terus menjadi sasaran utama globalisasi yang didalangi oleh syarikat-syarikat multinasional dan transnasional. Sesungguhnya tidaklah mengejutkan apabila sistem sosio budaya masyarakat muda kini sudah dirungkai sehingga segala nilai tradisi kita kini sedang melalui proses penghakisan yang amat ketara.
Adalah terlalu ketara untuk menafikan mengenai wujudnya keadaan di mana anak-anak muda semakin menunjukkan tanda tercabut dari akar budaya, bangsa dan agamanya sendiri. Dalam keghairahan untuk mengejari gaya hidup global yang ditandai oleh pelbagai ciri kehidupan barat, anak-anak muda kita secara umumnya kini sudah tidak merasa bersalah untuk meniru secara bulat budaya hidup barat. Kita dapat saksikan globalisasi budaya ini dalam pelbagai bentuk kehidupan golongan belia.
Pengamatan yang jelas dapat membuktikan fenomena di atas boleh disaksikan dengan insiden-insiden dan trend berikut:
- Pakaian jenama barat.
- Makanan segera keluaran barat.
- Minuman global yang ditaja oleh barat.
- Hiburan yang menonjolkan budaya barat.
- Media barat yang semakin membanjiri masyarakat muda.
- Rekreasi yang meniru ala barat.
- Dunia lakonan dan pembikinan filem cara barat
- Majlis-majlis sosial yang menonjolkan acara-acara ala barat.
- Produk rokok yang menajakan budaya hidup barat.
Demikianlah antara fenomena globalisasi yang kini sedang mencabar seluruh jati diri golongan muda. Dari globalisasi kepada dominasi, golongan muda semakin terdedah kepada kehidupan dan nilai keperibadian yang terputus dan terpisah jauh dari budaya hidup timur.
Kita tidak mempunyai pilihan melainkan untuk meneliti secara kritikal dari implikasi globalisasi yang semakin rancak dan tidak terkawal. Golongan muda seharusnya berani untuk menyanggah arus globalisasi bagi memastikan jati diri kita yang sebenar tidak akan digadai. Hanya golongan muda yang mempunyai keberanian dan keyakinan diri bahawa sementara kita ingin berinteraksi dengan dunia luar kita tetap akan terus yakin dan tegas dalam mempertahankan kejatian diri kita. Tanpa kesedaran ini globalisasi akan menenggelam dan melemaskan golongan muda dengan nilai dan pegangan hidup yang sangat mengelirukan dan palsu.
Lima cabaran era globalisasi
Lima cabaran era globalisasi
KUALA LUMPUR 28 Mei – Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Al-Mohamad Al-Ahmad Al Sabah menggariskan lima cabaran yang perlu dihadapi oleh negara Islam dalam era globalisasi.
Lima cabaran itu menurut beliau, ialah kemiskinan, pendidikan, politik, hubungan umat Islam dengan dunia lain dan pentadbiran moden.
Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata, kemiskinan antara lain disebabkan ketiadaan peluang pekerjaan, pertambahan bilangan penduduk dan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar.
“Usaha membasmi kemiskinan merupakan isu utama yang cuba ditangani oleh pemerintah di negara Islam kerana ia juga menyebabkan ketidakseimbangan piramid penduduk,” katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ketiga di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Sheikh Al-Mohamad berkata, usaha untuk membasmi kemiskinan dunia Islam menuntut tiga tindakan iaitu daripada masyarakat, pihak kerajaan dan kerjasama antara negara Islam itu sendiri.
Bagaimanapun katanya, usaha tersebut perlu mendapat sokongan kuat dan kerjasama daripada sektor swasta sama ada dari segi pelaburan atau pertukaran bahan makanan.
“Bagaimanapun, kemiskinan paling teruk ialah kemiskinan minda,” katanya.
Mengenai bidang pendidikan pula, menu ru t beliau, ia melibatkan cabaran untuk membuat pelaburan termasuk dalam bidang latihan dan penyelidikan saintifik, bidang yang penting untuk pembangunan modal insan.
Katanya, ada sesetengah negara Islam maju dalam bidang pendidikan, latihan dan penyelidikan saintifik, tetapi masih banyak yang ketinggalan.
Negara Islam jelas beliau, akan terus tercicir daripada arus pembangunan perdana masa kini jika mereka terus gagal menyelesaikan cabaran kedua tersebut, kerana pendidikan merupakan `aset’ kepada kemajuan teknologi, komunikasi dan penyelidikan saintifik serta penjana kemajuan.
Dalam politik pula, beliau berpendapat, ia berkait rapat dengan soal demokrasi dan masih terdapat kesukaran untuk melaksanakannya di kebanyakan negara Islam terutama di kalangan negara Arab.
“Selain itu, ia juga berkait rapat dengan soal integriti dan rasuah yang perlu dijauhi oleh pemerintah bagi memastikan kesinambungan serta kelangsungan pembangunan negara dan rakyat. Cabaran yang kita hadapi ialah bagaimana untuk melaksanakan demokrasi itu,” katanya.
Mengulas cabaran hubungan umat Islam dengan dunia lain pula, Sheikh Al-Mohamad berkata, dunia sekarang semakin menjadi kecil dan pertukaran idea serta dialog perlu diwujudkan memandangkan umat Islam sering dikaitkan dengan keganasan dan diskriminasi ekoran tragedi 11 September 2001.
Sementara cabaran pentadbiran moden pula katanya, ada hubungkait dengan pemulihan semula modal insan, tetapi sering diabaikan walaupun negara Islam tidak miskin sumber.
Beliau turut membangkitkan isu birokrasi dalam mendapatkan kelulusan dan lesen untuk mengendalikan kilang pakaian, sedangkan perkara tersebut telah pun dimansuhkan di kebanyakan negara bukan Islam.